Sunday, October 20, 2013

TELEKOMUNIKASI


Apa yang dimaksudkan dengan Telekomunikasi ?


TELEKOMUNIKASI DAN PENDIDIKAN


Telekomunikasi telah memberikan kesannya kepada bidang pendidikan khususnya kepada masyarakat di luar bandar agar mereka tidak ketinggalan dalam dunia telekomunikasi. Sehubungan itu, peluang pendidikan juga diberikan kepada semua golongan masyarakat untuk menikmati faedah ilmu pengetahuan melalui wadah telekomunikasi. Pelajar dan tenaga pengajar boleh berhubung dalam satu-satu masa dalam jarak tertentu tanpa berjumpa secara fizikal untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Telekomunikasi juga telah mempercepatkan liputan akademik dan penyampaian maklumat dalam kadar yang segera.

Pada zaman dahulu, radio dan televisyen telah digunakan sebagai medium penyampaian maklumat khususnya tentang pendidikan dalam kalangan masyarakat luar bandar, kini dengan adanya teknologi telekomunikasi semua hanya di hujung jari kita. Penggabungan telekomunikasi dengan elemen interaktif dan multimedia membawa kepada satu pembaharuan dan kemajuan dalam bidang pendidikan yang dihadkan oleh aspek masa dan ruang. Justeru itu, kemajuan telekomunikasi menjurus kepada proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan dimana sahaja yang memudahkan pelajar dan tenaga pengajar. Melalui pembelajaran berteknologi ini, kombinasi antara penyiaran, wayar, transmisi satelit, radio dan televisyen serta komputer telah membolehkan pelajar, tenaga pengajar mahupun sesiapa sahaja boleh berkomunikasi dan memberikan respon secara terus-menerus dan menyumbang kepada komunikasi dua hala.

Telekomunikasi telah meluaskan sayapnya ke luar bandar yang tidak terhad kepada proses komunikasi sahaja malah memberikan nafas baru untuk menyalurkan ilmu pengetahuan terus kepada masyarakat di luar bandar. Setiap manusia di dunia berhak mendapatkan ilmu pendidikan kerana ia merupakan hak setiap insan bagi meningkatkan taraf hidupnya. Fenomena tersebut telah banyak membantu masyarakat luar untuk mengenali dunia luar dan membantu meningkat taraf hidup mereka sekaligus menjadi mereka masyarakat berilmu yang berguna kepada pembangunan negara bagi mencapai status negara maju.   

Berikut adalah beberapa contoh dan sumbangan dan kesan telekomunikasi sehala dan dua hala dalam bidang pendidikan yang membawa kepada perubahan besar dalam kalangan masyarakat luar bandar di serata dunia.



AKTIVITI TELEKOMUNIKASI SEHALA DALAM PENDIDIKAN

1. Penyiaran radio

 All India  Radio telah menyiarkan slot pendidikan cara bertani kepada petani dan latihan  untuk guru di India.

2. Penyiaran melalui satelit televisyen

Di Amerika Selatan, Brazil, dan Zimbabwe dengan bantuan satelit baru mereka untuk melaksanakan transmisi maklumat pendidikan kepada 3000 laman sesawang pengajian tinggi.

AKTIVITI TELEKOMUNIKASI DUA HALA DALAM PENDIDIKAN

1. Telesidang audio melalui panggilan bersidang membolehkan perbincangan, kuliah, dan seminar dilakukan secara dua hala yang melibatkan respon serta-merta.

2. E-mail, bersidang melalui komputer, pemindahan fail dilakukan dengan cepat tanpa adanya kekangan masa dan ruang dengan bantu telekomunikasi.

3. Merujuk pakar daripada luar negara melalui panggilan video atau persidangan video bersama pensyarah dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

CONTOH KESAN TELEKOMUNIKASI DALAM BIDANG PENDIDIKAN

 1. Interactive radio instruction atau radio interaktif berarahan yang dijalankan lebih 25 tahun dahulu oleh Profesor Patrick Suppes dan pasukannya di Amerika Syarikat untuk menerapkan kurikulum Mathematik di Nicaragua pada 1970. Usaha tersebut turut dilaksanakan di Afrika, Asia, dan Amerika Latin yang membuahkan hasil yang baik berbanding proses pengajaran dan pembelajaran secara tradisional dengan menggunakan buku teks. Menurut Friend, Searle, dan Suppes (1970), dalam kajian mereka telah mendapati bahawa sebanyak 37% pendengar di kawasan pedalaman mengikut program matematik yang ke udara pada masa itu dan disyorkan untuk diluaskan penyiaran ke kawasan.

2. Di Malaysia, telekomunikasi juga memainkan peranannya dalam sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan sekolah bestari. Sekolah bestari yang dilengkapi dengan komputer dan rangkaian internet telah memudahkan proses perhubungan, pengajaran, dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih efektif.  




video di bawah ini memaparkan tentang penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran dan pengajaran.


TELEKOMUNIKASI DAN PERNIAGAAN


Pada era yang seiring dengan kemajuan teknologi ini, peluang perniagaan untuk bertapak ke peringkat global dengan telekomunikasi adalah lebih signifikan khususnya kepada masyarakat luar  bandar.

Telekomunikasi yang sedia ada pada masa kini menjadi satu platform kepada para peniaga dari dalam mahupun luar negara untuk menjalankan perniagaan menggunakan jaringan telekomunikasi yang berteknologi tinggi supaya skop perniagaan tidak terbatas dalam ruang lingkup geografi sahaja malah lebih praktikal berbanding perniagaan yang dijalankan secara tradisional.

Telekomunikasi penting bagi bidang perniagaan, misalnya untuk menjalankan transaksi dan urusan perniagaan dengan pelanggan dapat dijalankan dengan efektif tanpa perlu ke premis dan pembayaran secara tunai serta makan masa. Sehubungan dengan itu, telekomunikasi menjadi medium kepada kerja berpasukan yang membolehkan pekerja untuk berhubung walau dimana sahaja mereka berada untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pekerja tanpa perlu ke pejabat ataupun tempat kerja.

Di Malaysia, usaha kerajaan dengan pelaksanaan rangkaian jalur lebar dan kampung tanpa wayar membolehkan masyarakat luar bandar boleh berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan bantuan telekomunikasi untuk menjana pendapatan. Rentetan itu, kesan signifikan telekomunikasi kepada bidang perniagaan adalah amat besar. Masyarakat luar bandar yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan boleh memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing ke peringkat global dengan sokong dan pengiktirafan kerajaan kita.

Selain itu, senario ini sedikit sebanyak menyumbang kepada pendapatan negara melalui transaksi dan aliran mata wang asing ke dalam negara. Di samping itu, telekomunikasi turut membantu perniagaan masyarakat luar bandar untuk meningkatkan import dan eksport barangan dan perkhidmatan dari dalam mahupun luar negara.

Justeru itu, telekomunikasi turut membantu sesebuah perniagaan mendapatkan jalinan daripada seluruh pelosok dunia yang mampu menjana pendapatan berlipat ganda, meningkatkan produktiviti dan memberikan kepuasan kepada semua pihak daripada peniaga, pekerja, pelanggan, dan masyarakat umum.

Contoh perniagaan yang dilakukan melalui telekomunikasi ialah Small Office/Home office (SOHO), pelaksanaan konsep pejabat di rumah ini membantu kaum wanita untuk menjana pendapatan dari rumah yang dilaksanakan dibawah kementerian wanita, keluarga, dan masyarakat di Malaysia.

Contoh kedua ialah produk keluaran perniagaan MUDIM, Kampung Jelutong, Kedah telah berjaya memasarkan produknya ke London, United Kingdom, dan Arab Saudi dengan menggunakan telekomunikasi dengan rangkaian internet untuk menjalankan perniagaan di dalam dan luar negara.





Video di bawah ini memaparkan tentang pelaksanaan rangkaian jalur lebar yang dapat melancarkan proses telekomunikasi dan menyumbang kepada perniagaan yang dijalankan di luar bandar.




TELEKOMUNIKASI DAN MASYARAKAT


Telekomunikasi menyumbangkan faedahnya kepada pelbagai bidang, tidak terlupa kepada masyarakat khususnya masyarakat di luar bandar. Elemen perhubungan menjadi faktor utama yang menyumbang kepada masyarakat luar bandar.

Dahulunya perhubungan dengan masyarakat adalah sukar kerana wujudnya kekangan geografi, kini dengan bantuan telekomunikasi seperti di Malaysia pelaksanaan rangkaian jalur lebar dan kampung tanpa wayar dibawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah meningkatkan penggunaan telekomunikasi dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Retentan itu, masyarakat luar bandar boleh berhubung tanpa sebarang kekangan masa dan ruang dengan sesiapa sahaja. Hal ini juga secara tidak langsung meningkatkan penggunaan gajet, laman sosial, dan rangkaian internet secara optimum untuk berhubung.

Proses pemindahan, pertukaran, penyampaian maklumat sama ada daripada masyarkat luar bandar ke tempat lain atau keadaan yang sebaliknya menjadi lebih cepat dan efektif dengan adanya medium hubungan yang berteknologi iaitu wadah telekomunikasi. Senario ini dapat dibuktikan dengan penyampaian maklumat dan polisi kerajaan kepada masyarakat luar bandar oleh kerajaan sesebuah negara.

Telekomunikasi juga membantu melahirkan masyarakat yang celik ICT yang peka terhadap perkembangan  teknologi pada masa kini, hal ini juga membantu mengurangkan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar.

Selain itu, kesan daripada telekomunikasi kepada masyarakat luar bandar adalah membantu meningkatkan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik dan global seperti urusan jual dan beli barangan dan perkhidmatan yang mampu menjana pendapatan berlipat ganda dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Secara tidak langsung juga telekomunikasi telah mewujudkan peluang pekerjaan, yang membolehkan masyarakat luar bandar menjalankan proses perniagaan yang diingini dengan wadah telekomunikasi.

Di samping itu, telekomunikasi juga menyumbang kepada aspek kesihatan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan bantuan rawatan ketika kecemasan atau merujuk pakar perubatan dari luar negara. Contohnya di negara India, Syarikat Telecom Regulatory Authority telah mendapati bahawa kebanyakan kawasan di India tidak memiliki teknologi telekomunikasi untuk berhubung. 

Oleh kerana itu, syarikat tersebut mempromosikan perhubungan telefon dengan kos yang rendah, usaha tersebut mendapat respon yang mengalakkan daripada masyarakat setempat. Keputusan positif daripada pelaksanaan telefon kos rendah itu dapat mengurang jurang digital antara bandar dengan luar bandar sebanyak 1.7%. Hal ini juga membuktikan bahawa telekomunikasi turut menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara ke tahap yang lebih baik. ( Giri Rao dan Pattnaik, 2006)




Video ini memaparkan perubahan alat telekomunikasi yang memberikan kesan positif kepada perhubungan masyarakat di luar bandar. 




TELECENTER

Telecenter atau dikenali sebagai telecottage berperanan sebagai pusat komputer atau kafe siber yang ditubuhkan bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat luar bandar tentang dunia ICT dan capaian maklumat. Ia juga menjadi alat pembangunan kepada negara untuk mengurangkan jurang digital di antara bandar dan luar bandar, agar masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dari aspek ICT.

Telecenter juga berperanan untuk memperkenalkan dan meningkatkan kemahiran ICT kepada golongan miskin, wanita, kanak-kanak, OKU, warga emas, bumiputera yang menetap di luar bandar.

Menurut Jalaluddin Abdul Malek, Norizan Abdul Razak, dan Jamaluddin Aziz, (2010) menyatakan bahawa telecenter kini berkembang maju di peringkat tempatan, serantau, dan global ekoran sumbangan dan kepentingan telecenter yang menunjukkan respon yang mengalakkan. Selain itu, telecenter membantu melahirkan golongan tekno usahawan di desa-desa di Malaysia untuk menjana pendapatan melalui ICT.

Nama telecenter berbeza mengikut setiap kawasan geografi di serata dunia, antaranya ialah Telecottage di Sweden, Cyberdhabas di India, Cybercefes di Amerika Latin, Vishva Gnana Kendra di Sri Lanka dan Warung Net@WarNEt di Indonesia.

Di Malaysia pula, Telecenter dikenali sebagai Pusat Internet Desa (PID), Medan Indo Desa (MID), Kedai.com, UnivServProvder Communication Center (UnivCompterCtr), Rural Broadband Library, Universal Service Provision (USP) dan Bestari.com di Terengganu.

Contoh Telecenter yang dirujuk adalah Medan Info Desa (MID)

MID mula dilaksanakan pada tahun 2001 dan dibahagikan kepada 2 kategori iaitu MID Mukim dan MID Daerah. MID Mukim dilengkapi dengan 10 buah komputer manakala MID Daerah dilengkapi dengan 20 buah komputer dan sebuah bilik mesyuarat. Berikut adalah contoh Telecenter iaitu Medan Info Desa Kok Klang, Chuping, Perlis dan perkhidmatan yang disediakan. 

 1.Latihan asas dan kemahiran ICT
2.Perkhidmatan komputer dan internet
3.Percetakan komputer
4. Perkhidmatan laman web
5. Bengkel baik pulih dan peningkatan komputer
6. Membantu menyediakan maklumat kampung seluruh negara.

Berikut adalah kursus dan latihan yang ditawarkan di MID Kok Klang :-

1. Kursus LKD/LKK (peruntukan kementerian)
2. Kursus LKD percuma
3. Kursus komputer berbayar (Microsoft office)
4. Kursus adobe photoshop (berbayar)
5. Kursus pembinaan laman web (berbayar)
6. Kursus penyuntingan video (berbayar)


Video dibawah adalah contoh aktiviti di MID Kok Klang, Chuping Perlis yang dijalankan oleh saya dan rakan-rakan yang lain untuk mengajar kanak-kanak disitu tentang penggunaan Microsoft Words dengan baik.